Wednesday, 22 June 2011

Peluk Dan Urutan Rapatkan Hubungan

Setiap insan perlukan kasih sayang. Begitu juga bayi. Tapi bagaimana mereka dapat merasakan kasih sayang kerana mereka terlalu kecil untuk menilaikan semua itu.

Bayi dapat mendengar dan merasakan denyutan nadi orang yang memegangnya. Dan bayi juga dapat merasakan kehangatan sentuhan. Pada mereka itulah kasih sayang. Melalui denyutan dan sentuhan bayi tersebut dapat mengenali siapa ibunya.

Ini kerana semasa didalam kandungan bayi dapat mendengar jelas denyutan jantung ibunya dan dapat merasakan sentuhan si ibu apabila terjadinya pergerakan didalam.

Ramai yang terlupa bahawa bayi yang kecil perlukan 2 perkara yang sama ini setelah dilahirkan. Apabila lahir sahaja bayi diserahkan kepada ibu atau penjaga untuk mengasuh dan menjaga bayi tersebut. Maka hubungan si ibu dan si anak akan renggang.

Amalkan urutan lembut pada badan bayi setiap pagi dan sebelum tidur. Ini bertujuan agar bayi merasakan sentuhan dan kasih sayang. Selain itu ia adalah untuk melancarkan perjalanan darah bayi dan menyampaikan mesej kepada bayi bahawa ia berada dalam keadaan selamat.

Memberi susu badan adalah salah satu cara menyampaikan kasih sayang kerana si bayi akan berada didalam pelukan si ibu ketika menyusu. Si bayi akan merasa selamat dan degupan jantung si ibu menyampaikan bahawa dia berada dalam pelukan ibunya.

Dua perkara yang mudah dan selalu dianggap remeh sebenarnya mampu mengeratkan hubungan si ibu dengan bayi mereka. Perkara yang perlu menjadi amalan ini cuma mengambil masa tak sampai 10 minit dan tak perlu mengeluarkan wang ringgit untuk menunjukkan kasih sayang. Tapi masih dianggap payah.

Bayi tidak tahu apa jenis jenama mahal dan wang ringgit yang beratus atau beribu kerana mereka masih kecil untuk menilaikan semua itu. Tapi dengan hanya meluangkan masa sebentar tanpa mengeluarkan belanja yang mahal mereka tahu erti kasih sayang yang diberikan kepada mereka. Walaupun sesibuk mana kita, luangkanlah sebentar walau seminit untuk mengurut dan memeluk mereka. Kerana seminit yang diluangkan adalah begitu berharga dalam pembentukan naluri bayi.

Bayi yang sihat menceriakan keluarga..

No comments:

Post a Comment