Sunday 29 May 2011

Demam Kuning Penyakit Utama Bagi Bayi Baru Lahir

"Alah cuma kuning sikit tu biasalah..cuba jemur bayi tu dibawah matahari pagi nanti kuranglah kuning tu". Percaya atau tidak ia tidak akan membantu dan ini berdasarkan pada pengalaman saya dan adik-adik saya.

Kebanyakkan kes demam kuning atau dalam istilah perubatan; Jaundis tidak berbahaya dan boleh hilang sendiri jika tahu cara mengatasinya. Bagaimanapun, jangan kita ambil ringan kerana dalam kes tertentu ia boleh membahayakan kesihatan dan pertumbuhan bayi. Dan mereka memerlukan pemerhatian rapi dari doktor.

Tapi saya percaya masih ramai para ibu bapa yang masih mengamalkan amalan petua lama dan akibatnya apabila demam kuning bayi meningkat bayi ditahan diwad dan ibu yang masih dalam pantang terpaksa berulang alik kehospital untuk menyusukan bayi mereka. Tidakkah itu menyusahkan si ibu gara-gara amalan petua lama.

Apa Itu Demam Kuning?

Demam kuning atau jaundis (dalam istilah perubatan) terjadi hampir 60-70 peratus pada bayi yang baru lahir. Ia terjadi apabila bilirulin iaitu pigmen kuning yang terhasil ketika penguraian normal sel darah merah.

Bila bayi mudah diserang demam kuning?

Biasanya berlaku dari hari pertama hingga ke-4 tetapi bergantung kepada jenis demam kuning. Sekiranya selepas 14 hari bayi anda tidak ada tanda-tanda diatas, mungkin bayi anda terselamat dari terkena penyakit utama bayi yang baru lahir ini.

Apakah punca demam kuning?

1. Masalah serius pada hati, usus kecil dan kelainan intestinal.
2. Kurang diberi susu ibu.
3. Jangkitan atau kelahiran yang trauma

Apakah Rawatan Demam Kuning?

Tahukah anda antara rawatan yang akan diberikan sekiranya si bayi tadi dikenalpasti menghidap demam kuning adalah fototerapi
- penggunaan cahaya bililight (bukan dengan cahaya matahari) Bayi dibogelkan, mata mereka ditutup dan diletakkan dibawah cahaya bililight dan akan diteruskan sehingga bilirubin menurun.
- Dalam kes tertentu, penukaran darah bayi akan dijalankan kerana ini langkah yang cepat jika

Bagaimana Mengenalpasti penyakit demam kuning:

1. Jika bayi anda asik mengantuk, kerap tidur, tidak kerap membuang air besar dan kurang menyusu seperti biasa sila periksa kulit bayi anda.
2. Pemeriksaan sendiri boleh dilakukan dengan menekan kulit bayi dibawah cahaya yang banyak.
- Tekankan secara lembut dengan jari anda di bahagian hidung, dahi atau dada.
- Sekiranya ada kesan kekuningan selepas jari diangkat, bayi anda mengalami demam kuning.
- Jika yang berkulit gelap, periksa pada gusi atau mata putih. Jika warna kekuningan sila dapatkan rawatan selanjutnya diklinik-klinik berhampiran
3. Darah bayi diambil untuk mengetahui kandungan bilirulin. Sekiranya kandungan bilirulin tinggi dalam darah pengawasan rapi doktor diperlukan.

Kesan Demam Kuning Terhadap Bayi Jika Serius Tanpa Rawatan Yang Betul:

1. Pendengaran bayi akan terjejas
2. Proses perkembangan otak bayi akan terganggu.

Risiko Demam Kuning adalah tinggi sekiranya:

1. Bayi yang kurang disusukan selepas dilahirkan.
2. Bayi lahir pramatang (sebelum 28 minggu)
3. Darah ibu dan bayi yang baru dilahirkan berlainan
4. Sejarah adik beradik si bayi yang pernah mengalami demam kuning.
5. Mempunyai kesan lebam ketika lahir akibat penggunaan oxytocin (ubat mempercepatkan kelahiran)
6. Jangkitan atau kelahiran yang trauma .


Susu ibu cara pencegahan yang mujarab!

1. Susu pertama ibu dan teknik penyusuan yang betul dapat mengelakkan bayi dari terkena serangan demam kuning. Kolostrum dan susu yang diterima bayi akan membantu pembuangan najis dan mempercepatkan pengeluaran bilirubin.
2. galakkan bayi anda berjaga dan menyusu setiap dua jam


Cegah sebelum terlambat!!

Monday 23 May 2011

Pelat bukan pertuturan yang baik

Kerana terlalu manja dan sayangkan anak, ibu bapa kadang-kadang bercakap bahasa pelat seakan-akan ingin bermanja dengan anak-anak mereka. Tahukah anda bahawa dengan berkomunikasi secara pelat anda membentuk pemikiran yang bercanggah dan konflik perkembangan akan berlaku pada anak anda.

Bayi dan kanak-kanak akan mula memahami keadaan seawal 2 bulan dan mereka akan memberikan tindakbalas seawal 2 bulan setengah. Setiap perkara baru yang diterima dari pandangan dan pendengaran akan dirakam dalam minda mereka.

Sekiranya si ibu bertutur "anak mama nak matan atau mamam?" itu adalah perkara pertama yang diterima dan disimpan. Dan si bapa pula akan bertutur dengan ayat yang sama "anak ayah dah makan?". Si bayi atau kanak-kanak tersebut telah menerima perkataan pertama tadi akan mula bingung yang mana satu harus diikut.

Ini kerana mereka minda mereka belum mampu memproses maklumat yang sama tapi bercanggahan perkataan. Dan kesannya anak anda akan mula bercakap pelat pada perkataan pertama mereka.

Apabila anak anda pelat bertutur, dan ia akan berterusan sehingga mereka memasuki alam persekolahan. Pertuturan mereka akan sukar difahami dan akan menjadi bahan ejekan teman-teman mereka

Oleh itu, elakkan percanggahan dalam minda mereka semasa mereka mula belajar bertutur. Didik dan bertutur dengan perkataan yang betul dan sempurna agar anak anda tertib bertutur.

Bijak mereka adalah kerana asuhan anda.

Sunday 15 May 2011

Pemilihan warna membentuk tingkah laku anak anda

Percaya atau tidak warna juga memainkan peranan dalam membentuk tingkah laku anak anda. Warna-warna yang terang akan membuatkan anak anda lebih aktif.

Bagaimana mengetahui warna yang sesuai untuk membentuk peribadi anak anda. Mudah saja. Sebagai ibu bapa, anda lebih mengenali tingkah laku mereka. Pasif, aktif atau hyper-aktif?

Jika anak anda terlalu aktif (hyper-aktif) warna yang sesuai:
1. warna-warna yang lembut seperti putih, ungu, biru, dan hijau.


Jika anak anda berkarekter lembut atau pasif warna yang sesuai adalah:
1. warna-warna garang dan terang seperti merah dan jingga

Warna Jingga sesuai untuk dalam sistem pembelajaran kerana ia akan mengaktifkan sel-sel otak dan sesuai untuk menguatkan daya ingatan anak anda.

Warna merah sesuai untuk mengaktifkan mood anak anda dan menaikkan mood anak anda supaya bertindak aktif.

Warna biru lembut, ungu, putih dan merah jambu sesuai dalam bilik tidur bayi anda kerana ia boleh menenangkan dan memudahkan mereka cepat lelap.

Ingatan: sekiranya bayi anda terlalu aktif, kurangkan pakaian yang berwarna garang (seperti merah, oren dan kuning)

Tingkah laku bayi anda adalah hasil corak dari anda sendiri. Mereka adalah anda.

p/s: Pemilihan warna hanya memberikan sumbangan kecil terhadap pembentukan anak-anak anda. Tapi jangan memandang remeh terhadap pemilihan warna.

Tips untuk mengelak sembelit

Sembelit boleh mengakibatkan luka kecil disekitar lubang dubur dan menyakitkan bayi anda. Dan kerana itu juga ia boleh menyebabkan bayi anda trauma dan menangis tanpa henti ketika membuang air besar.

Berikut beberapa tips ingin saya kongsi bersama untuk mengelakkan sembelit:

1. Amalkan pengambilan 'gripewater' setiap pagi dan malam mengikut sukatan yang dibetul. Ia bagus dijadikan amalan untuk bayi yang dalam proses pembesaran. Amalan memberikan Gripewater kepada bayi anda boleh mengelakkan sembelit, kembung dan ketidakselesaan semasa gigi hendak tumbuh.
2. Sekiranya bayi anda telah mula memakan makanan pepejal, guna jari anda untuk menyuap mereka. Ini kerana terdapat satu jenis cecair dihujung jari anda yang berfungsi untuk memudahkan penghadaman.
3. Berikan sekurang-kurangnya 1 oz jus buah-buahan seperti kiwi, betik, anggur, pisang yang tidak mempunyai bahan pengawet setiap pagi. Ini kerana jus-jus ini bertindak sebagai bahan lawas.
4. Kunyahkan makanan bayi anda dan berikan kepada mereka (andaikan anda sebagai pengisar makanan anak anda). Bayi yang masih belum mempunyai gigi tidak dapat menguyah makanan walaupun yang lembut dengan baik. Jadi anda boleh membantu mereka dan makanan tersebut mudah dihadamkan.

Ingat, sembelit menyiksakan bayi anda. Oleh itu, elakkan trauma sembelit bayi anda. Amalkan dan anda tidak perlu khuatir tentang sembelit. Selamat mencuba.

Lendir mengganggu bayi anda?

Bayi anda mempunyai masalah pernafasan yang berbunyi kuat, hilang selera makan, tidur terganggu dan kerap menangis gara-gara lendir?

Jika tidak diatasi dengan segera, bayi anda mungkin akan terkena jangkitan paru-paru atau pun lelah pada peringkat awal.

Terdapat pelbagai kemungkinan punca-punca terjadinya lendir di antaranya:

1. tidak sendawakan bayi anda selepas minum susu/makan
2. terdedah dengan cuaca yang sejuk
3. alahan terhadap makanan/bahan tenusu
4. memberikan makanan/minuman yang berlebihan tanpa sukatan
5. memberi minum susu ketika bayi anda baring

Beberapa tips untuk mencegahnya ialah:

1. Setelah memberikan susu/makanan, bantu bayi anda sendawa. Kerana dalam proses penghadaman sekiranya bayi sendawa tanpa bantuan ia boleh mengakibatkan bayi tercekik.

2. Cuaca/suhu sekitar yang terlalu sejuk boleh mengakibatkan bayi anda bersin berkali-kali. Ini boleh mengakibatkan selsema dan batuk. Jika tidak dibiarkan, ia boleh mengakibatkan lendir. Tutup ubun-ubun dan pakaikan baju yang bersesuaian pada bayi anda sekiranya anda pergi ke tempat-tempat yang berhawa dingin.

3. ada bayi yang alah pada bahan-bahan yang mengandungi tenusu atau kekacang. Kenal pasti jenis makanan alahan bayi anda.

4. memberi minum susu atau makanan yang berlebihan kepada bayi anda juga boleh mengakibatkan lendir. Ini kerana jika bayi tersebut sendawa, makanan yang berlebihan akan dimuntahkan. Segelintir bayi tidak pandai untuk memuntahkannya maka ia akan menelan semula muntah tersebut. Dan ini akan mengakibatkan lendir.

5. memberi bayi susu sambil baring juga boleh mengakibatkan lendir.
Sekiranya susu tersebut termasuk ke saluran pernafasan ia boleh mengakibatkan bayi tersedak lalu susu tersebut keluar melalui hidung. Sekiranya berlaku, bayi tersebut akan selsema dan boleh mengakibatkan lendir.



Rawatan:
Disini ingin saya berkongsi untuk merawat dan mengurangkan lendir. Dan ia boleh diamalkan oleh semua peringkat umur.

Ambil 8-10 kuntum bunga senduduk ungu.
Rendam seketika dengan air bersih untuk membuang kotoran dan semut yang terdapat pada bunga tersebut.
Ambil kelopak bunga dan tumbuk sehingga lumat bersama-sama dengan gula batu.
Tidak memerlukan air kerana kelopak bunga tersebut akan mengeluarkan air sendiri.
Bagi bayi anda minum air tersebut dalam 2 camca dan ulangi sebanyak 3 kali dalam seminggu.
Insyallah lendir akan berkurangan dan akan keluar bersama najis bayi anda.

Mencegah lebih baik dari merawat!

Thursday 12 May 2011

Komunikasi dengan bayi penting

Inginkan bayi yang bijak berceloteh? Mudah saja.

Setiap kali bayi anda bangun dari tidur, senyum dan mula bercakap dengan mereka. Anda juga boleh bermain-main dengan mereka kerana dari situ bermulanya perkembangan minda bayi anda.
Otak mereka akan mula bekerja apabila mata melihat setiap pergerakan mulut dan telinga menangkap segala bunyi yang mereka terima. Input akan dihantar ke otak mereka dan mereka akan mula memberikan tindakbalas samada dengan senyuman atau pun pergerakan badan.

Jika dilatih setiap hari dan terbiasa mereka akan mula tindakbalas seperti bercakap dengan bahasa mereka sendiri.

Jika anda amalkan anda akan dapati hasilnya bayi anda dalam umur yang masih muda (3 bulan) mereka akan cepat memberikan rangsangan dan tindakbalas terhadap setiap pergerakan dan percakapan anda.

Amalkan dan bayi anda bijak berceloteh dengan anda.

Kenapa Bayi Menangis?

Bayi anda menangis tanpa henti? Jangan panik.

Ada 4 kemungkinan saja mengapa mereka menangis. Mereka menangis mungkin kerana:
1. Lapar
2. Mengantuk
3. Sakit
4. Inginkan perhatian

Memang mereka tidak boleh bercakap dan itu sahaja 'body language' yang boleh disampaikan supaya ibu mereka memahami kehendak mereka. Tapi kenapa masih ramai ibu yang masih tidak memahami kehendak bayi mereka?

Mengikut pengalaman saya dan dari sumber bacaan, bayi lelaki lebih kerap minum susu berbanding bayi perempuan. Dan bertambah kerap jika minum susu ibu. Ini kerana susu ibu lebih mudah dihadamkan. Semasa ingin menyusukan bayi, lihat masa dan 3 jam dari masa tersebut bayi anda akan mula menangis untuk menyusu semula. Bersedia untuk menyusukan bayi sebelum mereka menangis.

Selain itu juga, jika diperhatikan bayi hanya boleh bertahan maksimum selama 3 jam sahaja tanpa tidur dan minum susu. Selepas itu, mereka akan mula menangis sebagai isyarat bahawa mereka mahu ditidurkan dan ingin menyusu. Jika bayi anda telah lama berjaga, tidurkan mereka. Jangan biarkan mereka mula meragam. Bayi perlukan rehat yang secukupnya dan mereka akan tidur setiap 2-3 jam selepas berjaga.



Bayi juga hanya boleh bertahan selama 1 jam tanpa perhatian dan ini adalah maksimum bagi mereka. Tak percaya?

Selepas bayi anda bangun dari tidur, susu dah diberikan, anda telah sendawakan mereka cuba biarkan bayi anda tanpa ada apa-apa disekitar mereka. Dalam tempoh 15 minit pertama mereka akan mula bersuara seolah-olah memanggil orang. Dan sekiranya tiada maklumbalas dari sekitar mereka dalam masa 5 minit hingga 10 minit, mereka akan mula menangis untuk diberikan perhatian.

Jika bayi anda masih menangis tanpa henti dan menolak susu, hendak ditidurkan juga masih menangis, cuba anda ketuk perlahan-lahan perut anak anda. Bunyi yang dihasilkan kosong bermakna anak anda mengalami kembung perut.

Apa yang anda perlu buat, letakkan minyak bayi pada telapak tangan anda dan gosokkan. Kemudian sapukan pada perut bayi anda. Dan berikan 'gripe water' mengikut sukatan yang ditetapkan. Insyallah dalam masa 15 minit hingga 20 minit mereka akan berhenti menangis. Dalam masa tersebut tiarapkan bayi dipeha anda. Usapkan belakang mereka.

Mereka hanya menangis kerana ingin memberitahu sesuatu kepada ibu mereka. Jika 4 perkara diatas anda dapat atasi sebelum mereka menangis, bayi anda tidak akan banyak kerenah dan mudah dijaga. Kita pun senang.

Bayi tidak pandai meragam jika kita tahu untuk mengatasi tangisan mereka. Cubalah dan anda akan mudah menguruskan rumah tangga.