Monday 15 August 2011

Pertumbuhan Gigi Susu

Sungguhpun tanpa gigi senyuman bayi adalah satu terapi bagi kebanyakan ibu bapa setelah penat seharian bekerja. Tetapi, ketibaan gigi pertama tidak menyeronokkan, dan ia boleh menjadi proses yang panjang dan mungkin anda perlu berjaga malam untuk menenangkan bayi anda ketika proses pertumbuhan gigi mereka. Ini kerana mereka merasa kesakitan gigi yang ingin menembusi gusi mereka.

Simptom pertumbuhan gigi susu bayi anda:

* berlebihan air liur meleleh
* rasa sakit yang agak teruk — selalunya bermula selama sebulan atau dua sebelum acara kemuncak.
* mula menggigit jari dan menggosokkan jari mereka pada gusi untuk mengurangkan rasa tidak selesa
* gelisah
* pipi dan gusi kemerah-merahan
* kurang minum susu
* mula mencari benda pepejal untuk digigit
* demam suhu meningkat
* kembung perut kerana hilang selera makan
* menangis tanpa henti dan sebab

Bagaimana anda dapat membantu bayi anda:

* berdasarkan pengalaman saya, Gripwater amat membantu bagi mengelakkan kembung perut akibat tidak selesa kerana hilang selera makan dan minum
* beri bayi anda sesuatu untuk dikunyah seperti gegelang gigit yang disimpan dalam peti sejuk. Ini boleh memberikan sedikit kelegaan dari memakan makanan sejuk terus dari peti sejuk seperti puri epal atau yogurt.
* berikan paracetamol dengan dos yang betul untuk menurunkan suhu badan dan kesakitan bayi anda.
* sapukan gel penahan sakit gusi pada gusi yang berkenaan kerana bayi tidak pandai meludah dan gel yang berlebihan mungkin akan tertelan.
* berikan biskut khas yang sesuai untuk pertumbuhan gigi bayi.

Peringkat pertumbuhan gigi susu bayi anda:

6 - 9 bulan : Gigi kacip (insisor)
12 - 15 bulan: Gigi geraham (molar) pertama
18 - 20 bulan: Gigi taring (kanin)
24 - 36 bulan: Gigi geraham (molar) kedua

Zat yang sesuai untuk membantu pembentukkan sempurna gigi bayi anda:

Protein, Kalsium,Fosfat, dan vitamin (seperti vitamin C dan vitamin D) adalah sesuai untuk membantu pembentukkan bayi anda. Jenis-jenis makanan yang sesuai dengan usia bayi anda adalah seperti: bubur nasi, isi ikan dan ayam, bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran. Susu juga adalah perkara wajib diberikan kepada bayi.

Pada kebiasaannya, saya memberikan bayi saya bubur nasi yang dimasak bersama isi ikan atau ayam berserta sayur-sayuran seperti lobak merah dan kentang. Buah-buahan seperti anggur dan epal merah diberikan 1 jam sebelum diberikan bubur nasi untuk membantu sistem pencernaan bayi saya.

Kebiasaannya, gigi tumbuh dengan berturut-turut. Dimulai dengan bahagian depan sebelah bawah, kemudian ditengah sebelah atas, diikuti yang dibahagian tepi dan belakang.

Kata orang-orang tua, pertumbuhan gigi selalunya mengikut keturunan. Sekiranya gigi anda tumbuh awal kebarangkalian bayi anda juga akan melalui perkara yang sama. Wallahuallam..


Sumber: http://www.infosihat.gov.my/

Anak anda panas baran?

Adakah anak anda menangis bila tidak dipenuhi keperluannya? Melontar barang? Menjerit-jerit? Menendang dan menghentak-hentak kaki atau badan? Menahan nafas? Itu semua adalah tanda-tanda panas baran anak anda.

Panas baran atau memberontak kanak-kanak selalunya diluahkan sebegitu rupa kerana ketidakpuasan hati atau tekanan yang dihadapi sehingga tidak tertanggung sehingga kadangkala ia boleh menjejaskan emosi mereka seperti menjadi takut.

Selalunya berlaku kepada kanak-kanak seawal usia 6 bulan - 1 tahun, 2 tahun - 4 tahun. Ini kerana pada usia ini perkembangan minda mereka akan semakin aktif dan sikap ingin tahu akan meningkat. Sesetengah panas baran kanak-kanak akan kerap berlaku dan ada juga kanak-kanak yang jarang memberontak. Ini bergantung kepada persekitaran dan cara asuhan dan didikan kanak-kanak tersebut.

Mereka memberontak dan menjadi panas baran kerana:

 Berasa letih, lapar atau tidak selesa
 Tidak mendapat apa yang dikehendaki
 Tidak mendapat perhatian

Bagaimana anda membantu anak anda tangani masalah ini?

1. Kanak-kanak yang dimarahi dan ditegur adalah lebih baik daripada tiada layanan. Tapi teguran dari anda hendaklah memadai dengan kesalahannya. Teguran yang diberi tidak berulang-ulang dan memukul anak anda tidak digalakkan.

2. Anda sebagai ibu bapa hendaklah memberikan penghargaan pada kelakuan yang baik dan elok supaya mereka lebih bersikap membina dan bersemangat untuk melakukannya lagi.

3. Tenangkan diri anda semasa menangani panas baran anak anda kerana situasi akan bertambah tegang sekiranya diri kita sendiri tidak berada dalam keadaan tenang.

4. Perlu bersikap tegas, dan adil.

5. Cari punca situasi dan baran anak anda tersebut dan cuba selesaikan secara beransur- ansur.

6. Jika kanak-kanak itu baran dan memberontak kerana dia ingin memiliki sesuatu yang dia tidak dapat, biarkan. Jangan dilayan dan dipenuhi kehendaknya tetapi perlu diawasi supaya dia berada dalam keadaan selamat. Dinasihatkan supaya jauhkan anak anda dari pada objek yang mudah dicapai terutama peralatan tajam dan berbahaya. Cuba alih perhatian Kanak-kanak itu jika perlu.

7. Jika anak anda masih berumur dalam lingkungan 1 tahun kebawah, cuba alihkan perhatiannya dengan sesuatu perkara yang baru atau perkara yang menjadi kesukaannya. Contohnya jika anak anda suka bermain dengan mainan bunyi berikan mainan tersebut kepadanya dan pujuk secara baik. Kerana pada usia begini, anak anda mudah dipujuk berbanding dengan yang telah meningkat usia 1 tahun keatas. Ini disebabkan pada usia begini mereka belum lagi terdedah dengan pelbagai perkara.

8. Perlu diingatkan supaya tidak memarahi anak anda dikalayak ramai kerana mereka lebih akan memberontak akibat malu. Cari satu tempat yang sesuai dan tegur mereka secara baik. Jika tidak berhasil, berjanji kepada mereka sekiranya mereka berkelakuan baik, ganjaran akan diberikan apabila tiba dirumah. (Pastikan janji ditepati kerana ia akan memberikan impaks yang tidak baik kepada anak anda). Sebaik-baiknya nasihatkan mereka dari rumah supaya berkelakuan baik sekiranya mereka ingin dibawa bersiar-siar. Benarkan mereka membuat janji dan sekiranya janji mereka tidak ditepati mereka akan mendapat balasan.

9. Sebelum membawa anak anda keluar rumah pastikan mereka cukup rehat, dan diberikan makan terlebih dahulu. Kerana sekiranya mereka terlampau penat dan lapar, mereka akan cepat baran jika permintaan mereka tidak ditunaikan.

10. Pastikan tempat yang ingin dikunjung bersama anak anda adalah sesuai (tidak terlalu sesak, panas). Ini kerana dikuatiri mereka akan mudah rimas dan mula baran jika kawasan tersebut panas dan merimaskan. Dinasihati juga agar memakaikan anak anda dengan pakaian yang sesuai dengan keadaan dan cuaca.

11. Ibu dan bapa hendaklah sependapat ketika atasi situasi begini. Jangan si ibu memarahi tetapi si bapa menyokong anak tersebut. Padahnya, si anak akan cenderung memilih kepada yang lebih disukai walaupun salah.

12. Masa rehat (Time out ). Sekiranya baran anak anda masih belum reda, letakkan beliau di satu sudut selama sekurang-kurangnya 1-5 minit. Ini boleh dipraktiskan kepada anak yang berumur 2-3 tahun. Pada usia begini, mereka mudah memahami apa yang cuba disampaikan. Beritahu kepada anak anda kenapa anda berbuat demikian dan biarkan mereka sendirian untuk tenangkan diri mereka sendiri. Apabila ia sudah reda dan datang kepada anda, jangan dimarahi sebaliknya berikan pujian kepadanya kerana telah dapat mengawal dan menenangkan dirinya sendiri.

Perlu diingat bahawa sekiranya anak anda mempunyai ciri-ciri baran, jangan disogok dan diprovokasikan pada ketika beliau tenang mahupun baran. Itu akan menjadikan suatu amalan kebiasaan baginya. Jangan dibiarkan ia menjadi amalan mereka kerana ia akan merosakkan minda dan sifat dalam diri anak anda. Ketika ini perkembangan minda mereka akan menerima apa sahaja yang akan membentuk peribadi mereka.

Maka, anak adalah kain putih yang bersih dan kita sebagai ibu bapa yang mencorakkan peribadi mereka melalui didikan dan asuhan dari kecil. Anda tentukan peribadi mereka, berikan persekitaran yang tenang supaya mereka membesar dengan berhemah.

Tuesday 9 August 2011

Madu Bahaya Untuk Bayi Anda

Setelah membaca beberapa artikel dan mendapatkan keterangan lanjut dari seorang kawan saya; Pakar Nutrisi Pemakanan Kanak-kanak, barulah saya sedar bahawa madu sebenarnya tidak selamat diberikan kepada kanak-kanak dibawah 1 tahun. Semoga artikel yang ingin dikongsikan bersama ini dapat menukar pandangan kawan-kawan saya yang sama seperti saya sebelum ini bahawa madu tidak sesuai untuk bayi yang dibawah usia 1 tahun.

Kenapa?

Ini kerana madu mengandungi spora dari sejenis bacteria bernama “clostridium botulinum” yang akan menyebabkan penyakit yang sangat merbahaya iaitu “Botulism Bayi”.

Spora ini sukar dibunuh,tahan panas walaupun dididihkan untuk beberapa jam atau melalui proses penapisan.

Apa itu Botulism Bayi?

Botulism bayi itu akan menyerang sistem saraf dan akan menyebabkan bayi tersebut kabur pandangannya, kelopak mata tertutup sedikit (droopy eyelid) dan mengalami kesulitan semasa bernafas dan menelan air liur. Ia juga akan menyebabkan muntah2,cirit-birit dan sakit badan.

Kenapa bayi tidak diboleh diberikan madu?

Usus bayi merupakan persekitaran yang sesuai untuk spora ini membiak. Apabila madu ini dimakan,ia akan membiak dan akan menghasilkan sejenis toksin. Toksin ini akan diserap masuk ke dalam usus bayi yang masih tidak matang dan menyebabkan “botulism”.

Terdapat sesetengah kes botulism bersifat ‘sederhana’,dan sesetengah lagi bersifat ‘merbahaya’ sehingga menyebabkan kematian.Kemuncak umur untuk penyakit ini ialah 2 hingga 4 bulan. Tetapi risiko tetap ada pada umur 1 minggu hingga 11 bulan.

Secara kesimpulannya madu tidak digalakkan diberi bawah umur 1 tahun.

Apakah simpton-simpton botulism?

1. Simptom perut yg berbeza dari kebiasaan (unusual gastrointestinal symptom), berkemungkinan disebabkan oleh sebarang keracunan makanan atau makanan tercemar.
2. Kepenatan (lethargy,weakness)
3. Kesusahan untuk mengawal kepala (loss of head control)
4. Pertukaran nada nangis (altered cry)


Kebiasaannya, simptom akan muncul dalam jangka masa 18 hingga 36 jam. Sekiranya bayi anda mempunyai simpton-simpton ini hubungi atau bawa bayi anda berjumpa dengan pakar kanak2 atau doktor anda. Ingat, sekiranya bayi anda tidak segera mendapatkan rawatan,simptom yang berlarutan boleh menyebabkan lumpuh tangan,kaki,badan dan otot pernafasan.

p/s: tetapi madu selamat diamalkan oleh orang dewasa ini adalah kerana usus orang dewasa mengandungi acid yang cukup untuk menyahkan toksin yang dihasilkan oleh spora ini.

Sumber dari: http://cyberclinics.org/

Wednesday 22 June 2011

Peluk Dan Urutan Rapatkan Hubungan

Setiap insan perlukan kasih sayang. Begitu juga bayi. Tapi bagaimana mereka dapat merasakan kasih sayang kerana mereka terlalu kecil untuk menilaikan semua itu.

Bayi dapat mendengar dan merasakan denyutan nadi orang yang memegangnya. Dan bayi juga dapat merasakan kehangatan sentuhan. Pada mereka itulah kasih sayang. Melalui denyutan dan sentuhan bayi tersebut dapat mengenali siapa ibunya.

Ini kerana semasa didalam kandungan bayi dapat mendengar jelas denyutan jantung ibunya dan dapat merasakan sentuhan si ibu apabila terjadinya pergerakan didalam.

Ramai yang terlupa bahawa bayi yang kecil perlukan 2 perkara yang sama ini setelah dilahirkan. Apabila lahir sahaja bayi diserahkan kepada ibu atau penjaga untuk mengasuh dan menjaga bayi tersebut. Maka hubungan si ibu dan si anak akan renggang.

Amalkan urutan lembut pada badan bayi setiap pagi dan sebelum tidur. Ini bertujuan agar bayi merasakan sentuhan dan kasih sayang. Selain itu ia adalah untuk melancarkan perjalanan darah bayi dan menyampaikan mesej kepada bayi bahawa ia berada dalam keadaan selamat.

Memberi susu badan adalah salah satu cara menyampaikan kasih sayang kerana si bayi akan berada didalam pelukan si ibu ketika menyusu. Si bayi akan merasa selamat dan degupan jantung si ibu menyampaikan bahawa dia berada dalam pelukan ibunya.

Dua perkara yang mudah dan selalu dianggap remeh sebenarnya mampu mengeratkan hubungan si ibu dengan bayi mereka. Perkara yang perlu menjadi amalan ini cuma mengambil masa tak sampai 10 minit dan tak perlu mengeluarkan wang ringgit untuk menunjukkan kasih sayang. Tapi masih dianggap payah.

Bayi tidak tahu apa jenis jenama mahal dan wang ringgit yang beratus atau beribu kerana mereka masih kecil untuk menilaikan semua itu. Tapi dengan hanya meluangkan masa sebentar tanpa mengeluarkan belanja yang mahal mereka tahu erti kasih sayang yang diberikan kepada mereka. Walaupun sesibuk mana kita, luangkanlah sebentar walau seminit untuk mengurut dan memeluk mereka. Kerana seminit yang diluangkan adalah begitu berharga dalam pembentukan naluri bayi.

Bayi yang sihat menceriakan keluarga..

Wednesday 15 June 2011

Ruqyah Syar’iyyah Untuk Si Kecil

Dah makan, sudah diberi susu, tidur pun cukup, perut tak meragam tapi mengapa tiba-tiba anak kecil saya menangis tanpa henti? Pening juga memikirkan kenapa dia menangis padahal anak saya hanya menangis bila tiba masa tidur dan makan.

Teringat saya ruqyah Syari'iyyah yang dijadikan amalan untuk menghindari sihir dan gangguan makhluk halus. Lalu saya perdengarkan melalui telepon bimbit saya. Mula-mula tiada perubahan tapi dalam masa 10 minit dia mula senyap dan tertidur. Rasa tenang bila anak saya tidur dengan lena.

Potongan ayat-ayat dari 20 jenis surah Al-Quraan ini amat sesuai diperdengarkan jika bayi susah ditidurkan, menangis tidak tahu punca dan untuk menenangkan bayi yang resah. Dan boleh dijadikan amalan ketika mendodoikan bayi anda. Gabungan ayat-ayat ini yang menyampaikan maksud mengenai iman dan penafian tentang pengaruh sihir dan gangguan makhlus halus surah ini juga sesuai dimanfaatkan pelbagai golongan.

Ada juga ibu bapa yang berpendapat anak mereka menangis kerana gangguan makhlus halus. Ini dikaitkan kerana bayi mudah terlihat makhlus-mahkluk halus kerana masih tidak boleh berkata-kata. Tidak dinafikan kerana kita berkongsi hidup di dunia ini bersama-sama makhluk Allah yang lain. Tetapi itu semua bukan alasan untuk kita terpengaruh dengan amalan syirik dengan memakaikan tangkal hitam atau di asapkan dengan kemenyan seperti amalan orang lama.

Kembalilah kita pada Allah dan telah diturunkan oleh-Nya dan diciptakan potongan ayat gabungan dari Surah-surah AlQuraan untuk rawatan gangguan makhluk halus. Insyaallah dengan niat naluri seorang ibu yang berlandaskan pegangan agama, kita dapat atasi masalah gangguan dan sukar tidur pada anak kita.

Anda boleh dapatkannya di: http://www.4shared.com/file/8pnZwPMt/Kitab_Ruqyah_Syariyyah.html

Wallahuallam....

Sunday 29 May 2011

Demam Kuning Penyakit Utama Bagi Bayi Baru Lahir

"Alah cuma kuning sikit tu biasalah..cuba jemur bayi tu dibawah matahari pagi nanti kuranglah kuning tu". Percaya atau tidak ia tidak akan membantu dan ini berdasarkan pada pengalaman saya dan adik-adik saya.

Kebanyakkan kes demam kuning atau dalam istilah perubatan; Jaundis tidak berbahaya dan boleh hilang sendiri jika tahu cara mengatasinya. Bagaimanapun, jangan kita ambil ringan kerana dalam kes tertentu ia boleh membahayakan kesihatan dan pertumbuhan bayi. Dan mereka memerlukan pemerhatian rapi dari doktor.

Tapi saya percaya masih ramai para ibu bapa yang masih mengamalkan amalan petua lama dan akibatnya apabila demam kuning bayi meningkat bayi ditahan diwad dan ibu yang masih dalam pantang terpaksa berulang alik kehospital untuk menyusukan bayi mereka. Tidakkah itu menyusahkan si ibu gara-gara amalan petua lama.

Apa Itu Demam Kuning?

Demam kuning atau jaundis (dalam istilah perubatan) terjadi hampir 60-70 peratus pada bayi yang baru lahir. Ia terjadi apabila bilirulin iaitu pigmen kuning yang terhasil ketika penguraian normal sel darah merah.

Bila bayi mudah diserang demam kuning?

Biasanya berlaku dari hari pertama hingga ke-4 tetapi bergantung kepada jenis demam kuning. Sekiranya selepas 14 hari bayi anda tidak ada tanda-tanda diatas, mungkin bayi anda terselamat dari terkena penyakit utama bayi yang baru lahir ini.

Apakah punca demam kuning?

1. Masalah serius pada hati, usus kecil dan kelainan intestinal.
2. Kurang diberi susu ibu.
3. Jangkitan atau kelahiran yang trauma

Apakah Rawatan Demam Kuning?

Tahukah anda antara rawatan yang akan diberikan sekiranya si bayi tadi dikenalpasti menghidap demam kuning adalah fototerapi
- penggunaan cahaya bililight (bukan dengan cahaya matahari) Bayi dibogelkan, mata mereka ditutup dan diletakkan dibawah cahaya bililight dan akan diteruskan sehingga bilirubin menurun.
- Dalam kes tertentu, penukaran darah bayi akan dijalankan kerana ini langkah yang cepat jika

Bagaimana Mengenalpasti penyakit demam kuning:

1. Jika bayi anda asik mengantuk, kerap tidur, tidak kerap membuang air besar dan kurang menyusu seperti biasa sila periksa kulit bayi anda.
2. Pemeriksaan sendiri boleh dilakukan dengan menekan kulit bayi dibawah cahaya yang banyak.
- Tekankan secara lembut dengan jari anda di bahagian hidung, dahi atau dada.
- Sekiranya ada kesan kekuningan selepas jari diangkat, bayi anda mengalami demam kuning.
- Jika yang berkulit gelap, periksa pada gusi atau mata putih. Jika warna kekuningan sila dapatkan rawatan selanjutnya diklinik-klinik berhampiran
3. Darah bayi diambil untuk mengetahui kandungan bilirulin. Sekiranya kandungan bilirulin tinggi dalam darah pengawasan rapi doktor diperlukan.

Kesan Demam Kuning Terhadap Bayi Jika Serius Tanpa Rawatan Yang Betul:

1. Pendengaran bayi akan terjejas
2. Proses perkembangan otak bayi akan terganggu.

Risiko Demam Kuning adalah tinggi sekiranya:

1. Bayi yang kurang disusukan selepas dilahirkan.
2. Bayi lahir pramatang (sebelum 28 minggu)
3. Darah ibu dan bayi yang baru dilahirkan berlainan
4. Sejarah adik beradik si bayi yang pernah mengalami demam kuning.
5. Mempunyai kesan lebam ketika lahir akibat penggunaan oxytocin (ubat mempercepatkan kelahiran)
6. Jangkitan atau kelahiran yang trauma .


Susu ibu cara pencegahan yang mujarab!

1. Susu pertama ibu dan teknik penyusuan yang betul dapat mengelakkan bayi dari terkena serangan demam kuning. Kolostrum dan susu yang diterima bayi akan membantu pembuangan najis dan mempercepatkan pengeluaran bilirubin.
2. galakkan bayi anda berjaga dan menyusu setiap dua jam


Cegah sebelum terlambat!!

Monday 23 May 2011

Pelat bukan pertuturan yang baik

Kerana terlalu manja dan sayangkan anak, ibu bapa kadang-kadang bercakap bahasa pelat seakan-akan ingin bermanja dengan anak-anak mereka. Tahukah anda bahawa dengan berkomunikasi secara pelat anda membentuk pemikiran yang bercanggah dan konflik perkembangan akan berlaku pada anak anda.

Bayi dan kanak-kanak akan mula memahami keadaan seawal 2 bulan dan mereka akan memberikan tindakbalas seawal 2 bulan setengah. Setiap perkara baru yang diterima dari pandangan dan pendengaran akan dirakam dalam minda mereka.

Sekiranya si ibu bertutur "anak mama nak matan atau mamam?" itu adalah perkara pertama yang diterima dan disimpan. Dan si bapa pula akan bertutur dengan ayat yang sama "anak ayah dah makan?". Si bayi atau kanak-kanak tersebut telah menerima perkataan pertama tadi akan mula bingung yang mana satu harus diikut.

Ini kerana mereka minda mereka belum mampu memproses maklumat yang sama tapi bercanggahan perkataan. Dan kesannya anak anda akan mula bercakap pelat pada perkataan pertama mereka.

Apabila anak anda pelat bertutur, dan ia akan berterusan sehingga mereka memasuki alam persekolahan. Pertuturan mereka akan sukar difahami dan akan menjadi bahan ejekan teman-teman mereka

Oleh itu, elakkan percanggahan dalam minda mereka semasa mereka mula belajar bertutur. Didik dan bertutur dengan perkataan yang betul dan sempurna agar anak anda tertib bertutur.

Bijak mereka adalah kerana asuhan anda.

Sunday 15 May 2011

Pemilihan warna membentuk tingkah laku anak anda

Percaya atau tidak warna juga memainkan peranan dalam membentuk tingkah laku anak anda. Warna-warna yang terang akan membuatkan anak anda lebih aktif.

Bagaimana mengetahui warna yang sesuai untuk membentuk peribadi anak anda. Mudah saja. Sebagai ibu bapa, anda lebih mengenali tingkah laku mereka. Pasif, aktif atau hyper-aktif?

Jika anak anda terlalu aktif (hyper-aktif) warna yang sesuai:
1. warna-warna yang lembut seperti putih, ungu, biru, dan hijau.


Jika anak anda berkarekter lembut atau pasif warna yang sesuai adalah:
1. warna-warna garang dan terang seperti merah dan jingga

Warna Jingga sesuai untuk dalam sistem pembelajaran kerana ia akan mengaktifkan sel-sel otak dan sesuai untuk menguatkan daya ingatan anak anda.

Warna merah sesuai untuk mengaktifkan mood anak anda dan menaikkan mood anak anda supaya bertindak aktif.

Warna biru lembut, ungu, putih dan merah jambu sesuai dalam bilik tidur bayi anda kerana ia boleh menenangkan dan memudahkan mereka cepat lelap.

Ingatan: sekiranya bayi anda terlalu aktif, kurangkan pakaian yang berwarna garang (seperti merah, oren dan kuning)

Tingkah laku bayi anda adalah hasil corak dari anda sendiri. Mereka adalah anda.

p/s: Pemilihan warna hanya memberikan sumbangan kecil terhadap pembentukan anak-anak anda. Tapi jangan memandang remeh terhadap pemilihan warna.

Tips untuk mengelak sembelit

Sembelit boleh mengakibatkan luka kecil disekitar lubang dubur dan menyakitkan bayi anda. Dan kerana itu juga ia boleh menyebabkan bayi anda trauma dan menangis tanpa henti ketika membuang air besar.

Berikut beberapa tips ingin saya kongsi bersama untuk mengelakkan sembelit:

1. Amalkan pengambilan 'gripewater' setiap pagi dan malam mengikut sukatan yang dibetul. Ia bagus dijadikan amalan untuk bayi yang dalam proses pembesaran. Amalan memberikan Gripewater kepada bayi anda boleh mengelakkan sembelit, kembung dan ketidakselesaan semasa gigi hendak tumbuh.
2. Sekiranya bayi anda telah mula memakan makanan pepejal, guna jari anda untuk menyuap mereka. Ini kerana terdapat satu jenis cecair dihujung jari anda yang berfungsi untuk memudahkan penghadaman.
3. Berikan sekurang-kurangnya 1 oz jus buah-buahan seperti kiwi, betik, anggur, pisang yang tidak mempunyai bahan pengawet setiap pagi. Ini kerana jus-jus ini bertindak sebagai bahan lawas.
4. Kunyahkan makanan bayi anda dan berikan kepada mereka (andaikan anda sebagai pengisar makanan anak anda). Bayi yang masih belum mempunyai gigi tidak dapat menguyah makanan walaupun yang lembut dengan baik. Jadi anda boleh membantu mereka dan makanan tersebut mudah dihadamkan.

Ingat, sembelit menyiksakan bayi anda. Oleh itu, elakkan trauma sembelit bayi anda. Amalkan dan anda tidak perlu khuatir tentang sembelit. Selamat mencuba.

Lendir mengganggu bayi anda?

Bayi anda mempunyai masalah pernafasan yang berbunyi kuat, hilang selera makan, tidur terganggu dan kerap menangis gara-gara lendir?

Jika tidak diatasi dengan segera, bayi anda mungkin akan terkena jangkitan paru-paru atau pun lelah pada peringkat awal.

Terdapat pelbagai kemungkinan punca-punca terjadinya lendir di antaranya:

1. tidak sendawakan bayi anda selepas minum susu/makan
2. terdedah dengan cuaca yang sejuk
3. alahan terhadap makanan/bahan tenusu
4. memberikan makanan/minuman yang berlebihan tanpa sukatan
5. memberi minum susu ketika bayi anda baring

Beberapa tips untuk mencegahnya ialah:

1. Setelah memberikan susu/makanan, bantu bayi anda sendawa. Kerana dalam proses penghadaman sekiranya bayi sendawa tanpa bantuan ia boleh mengakibatkan bayi tercekik.

2. Cuaca/suhu sekitar yang terlalu sejuk boleh mengakibatkan bayi anda bersin berkali-kali. Ini boleh mengakibatkan selsema dan batuk. Jika tidak dibiarkan, ia boleh mengakibatkan lendir. Tutup ubun-ubun dan pakaikan baju yang bersesuaian pada bayi anda sekiranya anda pergi ke tempat-tempat yang berhawa dingin.

3. ada bayi yang alah pada bahan-bahan yang mengandungi tenusu atau kekacang. Kenal pasti jenis makanan alahan bayi anda.

4. memberi minum susu atau makanan yang berlebihan kepada bayi anda juga boleh mengakibatkan lendir. Ini kerana jika bayi tersebut sendawa, makanan yang berlebihan akan dimuntahkan. Segelintir bayi tidak pandai untuk memuntahkannya maka ia akan menelan semula muntah tersebut. Dan ini akan mengakibatkan lendir.

5. memberi bayi susu sambil baring juga boleh mengakibatkan lendir.
Sekiranya susu tersebut termasuk ke saluran pernafasan ia boleh mengakibatkan bayi tersedak lalu susu tersebut keluar melalui hidung. Sekiranya berlaku, bayi tersebut akan selsema dan boleh mengakibatkan lendir.



Rawatan:
Disini ingin saya berkongsi untuk merawat dan mengurangkan lendir. Dan ia boleh diamalkan oleh semua peringkat umur.

Ambil 8-10 kuntum bunga senduduk ungu.
Rendam seketika dengan air bersih untuk membuang kotoran dan semut yang terdapat pada bunga tersebut.
Ambil kelopak bunga dan tumbuk sehingga lumat bersama-sama dengan gula batu.
Tidak memerlukan air kerana kelopak bunga tersebut akan mengeluarkan air sendiri.
Bagi bayi anda minum air tersebut dalam 2 camca dan ulangi sebanyak 3 kali dalam seminggu.
Insyallah lendir akan berkurangan dan akan keluar bersama najis bayi anda.

Mencegah lebih baik dari merawat!

Thursday 12 May 2011

Komunikasi dengan bayi penting

Inginkan bayi yang bijak berceloteh? Mudah saja.

Setiap kali bayi anda bangun dari tidur, senyum dan mula bercakap dengan mereka. Anda juga boleh bermain-main dengan mereka kerana dari situ bermulanya perkembangan minda bayi anda.
Otak mereka akan mula bekerja apabila mata melihat setiap pergerakan mulut dan telinga menangkap segala bunyi yang mereka terima. Input akan dihantar ke otak mereka dan mereka akan mula memberikan tindakbalas samada dengan senyuman atau pun pergerakan badan.

Jika dilatih setiap hari dan terbiasa mereka akan mula tindakbalas seperti bercakap dengan bahasa mereka sendiri.

Jika anda amalkan anda akan dapati hasilnya bayi anda dalam umur yang masih muda (3 bulan) mereka akan cepat memberikan rangsangan dan tindakbalas terhadap setiap pergerakan dan percakapan anda.

Amalkan dan bayi anda bijak berceloteh dengan anda.

Kenapa Bayi Menangis?

Bayi anda menangis tanpa henti? Jangan panik.

Ada 4 kemungkinan saja mengapa mereka menangis. Mereka menangis mungkin kerana:
1. Lapar
2. Mengantuk
3. Sakit
4. Inginkan perhatian

Memang mereka tidak boleh bercakap dan itu sahaja 'body language' yang boleh disampaikan supaya ibu mereka memahami kehendak mereka. Tapi kenapa masih ramai ibu yang masih tidak memahami kehendak bayi mereka?

Mengikut pengalaman saya dan dari sumber bacaan, bayi lelaki lebih kerap minum susu berbanding bayi perempuan. Dan bertambah kerap jika minum susu ibu. Ini kerana susu ibu lebih mudah dihadamkan. Semasa ingin menyusukan bayi, lihat masa dan 3 jam dari masa tersebut bayi anda akan mula menangis untuk menyusu semula. Bersedia untuk menyusukan bayi sebelum mereka menangis.

Selain itu juga, jika diperhatikan bayi hanya boleh bertahan maksimum selama 3 jam sahaja tanpa tidur dan minum susu. Selepas itu, mereka akan mula menangis sebagai isyarat bahawa mereka mahu ditidurkan dan ingin menyusu. Jika bayi anda telah lama berjaga, tidurkan mereka. Jangan biarkan mereka mula meragam. Bayi perlukan rehat yang secukupnya dan mereka akan tidur setiap 2-3 jam selepas berjaga.



Bayi juga hanya boleh bertahan selama 1 jam tanpa perhatian dan ini adalah maksimum bagi mereka. Tak percaya?

Selepas bayi anda bangun dari tidur, susu dah diberikan, anda telah sendawakan mereka cuba biarkan bayi anda tanpa ada apa-apa disekitar mereka. Dalam tempoh 15 minit pertama mereka akan mula bersuara seolah-olah memanggil orang. Dan sekiranya tiada maklumbalas dari sekitar mereka dalam masa 5 minit hingga 10 minit, mereka akan mula menangis untuk diberikan perhatian.

Jika bayi anda masih menangis tanpa henti dan menolak susu, hendak ditidurkan juga masih menangis, cuba anda ketuk perlahan-lahan perut anak anda. Bunyi yang dihasilkan kosong bermakna anak anda mengalami kembung perut.

Apa yang anda perlu buat, letakkan minyak bayi pada telapak tangan anda dan gosokkan. Kemudian sapukan pada perut bayi anda. Dan berikan 'gripe water' mengikut sukatan yang ditetapkan. Insyallah dalam masa 15 minit hingga 20 minit mereka akan berhenti menangis. Dalam masa tersebut tiarapkan bayi dipeha anda. Usapkan belakang mereka.

Mereka hanya menangis kerana ingin memberitahu sesuatu kepada ibu mereka. Jika 4 perkara diatas anda dapat atasi sebelum mereka menangis, bayi anda tidak akan banyak kerenah dan mudah dijaga. Kita pun senang.

Bayi tidak pandai meragam jika kita tahu untuk mengatasi tangisan mereka. Cubalah dan anda akan mudah menguruskan rumah tangga.