Monday, 15 August 2011

Anak anda panas baran?

Adakah anak anda menangis bila tidak dipenuhi keperluannya? Melontar barang? Menjerit-jerit? Menendang dan menghentak-hentak kaki atau badan? Menahan nafas? Itu semua adalah tanda-tanda panas baran anak anda.

Panas baran atau memberontak kanak-kanak selalunya diluahkan sebegitu rupa kerana ketidakpuasan hati atau tekanan yang dihadapi sehingga tidak tertanggung sehingga kadangkala ia boleh menjejaskan emosi mereka seperti menjadi takut.

Selalunya berlaku kepada kanak-kanak seawal usia 6 bulan - 1 tahun, 2 tahun - 4 tahun. Ini kerana pada usia ini perkembangan minda mereka akan semakin aktif dan sikap ingin tahu akan meningkat. Sesetengah panas baran kanak-kanak akan kerap berlaku dan ada juga kanak-kanak yang jarang memberontak. Ini bergantung kepada persekitaran dan cara asuhan dan didikan kanak-kanak tersebut.

Mereka memberontak dan menjadi panas baran kerana:

 Berasa letih, lapar atau tidak selesa
 Tidak mendapat apa yang dikehendaki
 Tidak mendapat perhatian

Bagaimana anda membantu anak anda tangani masalah ini?

1. Kanak-kanak yang dimarahi dan ditegur adalah lebih baik daripada tiada layanan. Tapi teguran dari anda hendaklah memadai dengan kesalahannya. Teguran yang diberi tidak berulang-ulang dan memukul anak anda tidak digalakkan.

2. Anda sebagai ibu bapa hendaklah memberikan penghargaan pada kelakuan yang baik dan elok supaya mereka lebih bersikap membina dan bersemangat untuk melakukannya lagi.

3. Tenangkan diri anda semasa menangani panas baran anak anda kerana situasi akan bertambah tegang sekiranya diri kita sendiri tidak berada dalam keadaan tenang.

4. Perlu bersikap tegas, dan adil.

5. Cari punca situasi dan baran anak anda tersebut dan cuba selesaikan secara beransur- ansur.

6. Jika kanak-kanak itu baran dan memberontak kerana dia ingin memiliki sesuatu yang dia tidak dapat, biarkan. Jangan dilayan dan dipenuhi kehendaknya tetapi perlu diawasi supaya dia berada dalam keadaan selamat. Dinasihatkan supaya jauhkan anak anda dari pada objek yang mudah dicapai terutama peralatan tajam dan berbahaya. Cuba alih perhatian Kanak-kanak itu jika perlu.

7. Jika anak anda masih berumur dalam lingkungan 1 tahun kebawah, cuba alihkan perhatiannya dengan sesuatu perkara yang baru atau perkara yang menjadi kesukaannya. Contohnya jika anak anda suka bermain dengan mainan bunyi berikan mainan tersebut kepadanya dan pujuk secara baik. Kerana pada usia begini, anak anda mudah dipujuk berbanding dengan yang telah meningkat usia 1 tahun keatas. Ini disebabkan pada usia begini mereka belum lagi terdedah dengan pelbagai perkara.

8. Perlu diingatkan supaya tidak memarahi anak anda dikalayak ramai kerana mereka lebih akan memberontak akibat malu. Cari satu tempat yang sesuai dan tegur mereka secara baik. Jika tidak berhasil, berjanji kepada mereka sekiranya mereka berkelakuan baik, ganjaran akan diberikan apabila tiba dirumah. (Pastikan janji ditepati kerana ia akan memberikan impaks yang tidak baik kepada anak anda). Sebaik-baiknya nasihatkan mereka dari rumah supaya berkelakuan baik sekiranya mereka ingin dibawa bersiar-siar. Benarkan mereka membuat janji dan sekiranya janji mereka tidak ditepati mereka akan mendapat balasan.

9. Sebelum membawa anak anda keluar rumah pastikan mereka cukup rehat, dan diberikan makan terlebih dahulu. Kerana sekiranya mereka terlampau penat dan lapar, mereka akan cepat baran jika permintaan mereka tidak ditunaikan.

10. Pastikan tempat yang ingin dikunjung bersama anak anda adalah sesuai (tidak terlalu sesak, panas). Ini kerana dikuatiri mereka akan mudah rimas dan mula baran jika kawasan tersebut panas dan merimaskan. Dinasihati juga agar memakaikan anak anda dengan pakaian yang sesuai dengan keadaan dan cuaca.

11. Ibu dan bapa hendaklah sependapat ketika atasi situasi begini. Jangan si ibu memarahi tetapi si bapa menyokong anak tersebut. Padahnya, si anak akan cenderung memilih kepada yang lebih disukai walaupun salah.

12. Masa rehat (Time out ). Sekiranya baran anak anda masih belum reda, letakkan beliau di satu sudut selama sekurang-kurangnya 1-5 minit. Ini boleh dipraktiskan kepada anak yang berumur 2-3 tahun. Pada usia begini, mereka mudah memahami apa yang cuba disampaikan. Beritahu kepada anak anda kenapa anda berbuat demikian dan biarkan mereka sendirian untuk tenangkan diri mereka sendiri. Apabila ia sudah reda dan datang kepada anda, jangan dimarahi sebaliknya berikan pujian kepadanya kerana telah dapat mengawal dan menenangkan dirinya sendiri.

Perlu diingat bahawa sekiranya anak anda mempunyai ciri-ciri baran, jangan disogok dan diprovokasikan pada ketika beliau tenang mahupun baran. Itu akan menjadikan suatu amalan kebiasaan baginya. Jangan dibiarkan ia menjadi amalan mereka kerana ia akan merosakkan minda dan sifat dalam diri anak anda. Ketika ini perkembangan minda mereka akan menerima apa sahaja yang akan membentuk peribadi mereka.

Maka, anak adalah kain putih yang bersih dan kita sebagai ibu bapa yang mencorakkan peribadi mereka melalui didikan dan asuhan dari kecil. Anda tentukan peribadi mereka, berikan persekitaran yang tenang supaya mereka membesar dengan berhemah.

No comments:

Post a Comment