Monday, 15 August 2011

Pertumbuhan Gigi Susu

Sungguhpun tanpa gigi senyuman bayi adalah satu terapi bagi kebanyakan ibu bapa setelah penat seharian bekerja. Tetapi, ketibaan gigi pertama tidak menyeronokkan, dan ia boleh menjadi proses yang panjang dan mungkin anda perlu berjaga malam untuk menenangkan bayi anda ketika proses pertumbuhan gigi mereka. Ini kerana mereka merasa kesakitan gigi yang ingin menembusi gusi mereka.

Simptom pertumbuhan gigi susu bayi anda:

* berlebihan air liur meleleh
* rasa sakit yang agak teruk — selalunya bermula selama sebulan atau dua sebelum acara kemuncak.
* mula menggigit jari dan menggosokkan jari mereka pada gusi untuk mengurangkan rasa tidak selesa
* gelisah
* pipi dan gusi kemerah-merahan
* kurang minum susu
* mula mencari benda pepejal untuk digigit
* demam suhu meningkat
* kembung perut kerana hilang selera makan
* menangis tanpa henti dan sebab

Bagaimana anda dapat membantu bayi anda:

* berdasarkan pengalaman saya, Gripwater amat membantu bagi mengelakkan kembung perut akibat tidak selesa kerana hilang selera makan dan minum
* beri bayi anda sesuatu untuk dikunyah seperti gegelang gigit yang disimpan dalam peti sejuk. Ini boleh memberikan sedikit kelegaan dari memakan makanan sejuk terus dari peti sejuk seperti puri epal atau yogurt.
* berikan paracetamol dengan dos yang betul untuk menurunkan suhu badan dan kesakitan bayi anda.
* sapukan gel penahan sakit gusi pada gusi yang berkenaan kerana bayi tidak pandai meludah dan gel yang berlebihan mungkin akan tertelan.
* berikan biskut khas yang sesuai untuk pertumbuhan gigi bayi.

Peringkat pertumbuhan gigi susu bayi anda:

6 - 9 bulan : Gigi kacip (insisor)
12 - 15 bulan: Gigi geraham (molar) pertama
18 - 20 bulan: Gigi taring (kanin)
24 - 36 bulan: Gigi geraham (molar) kedua

Zat yang sesuai untuk membantu pembentukkan sempurna gigi bayi anda:

Protein, Kalsium,Fosfat, dan vitamin (seperti vitamin C dan vitamin D) adalah sesuai untuk membantu pembentukkan bayi anda. Jenis-jenis makanan yang sesuai dengan usia bayi anda adalah seperti: bubur nasi, isi ikan dan ayam, bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran. Susu juga adalah perkara wajib diberikan kepada bayi.

Pada kebiasaannya, saya memberikan bayi saya bubur nasi yang dimasak bersama isi ikan atau ayam berserta sayur-sayuran seperti lobak merah dan kentang. Buah-buahan seperti anggur dan epal merah diberikan 1 jam sebelum diberikan bubur nasi untuk membantu sistem pencernaan bayi saya.

Kebiasaannya, gigi tumbuh dengan berturut-turut. Dimulai dengan bahagian depan sebelah bawah, kemudian ditengah sebelah atas, diikuti yang dibahagian tepi dan belakang.

Kata orang-orang tua, pertumbuhan gigi selalunya mengikut keturunan. Sekiranya gigi anda tumbuh awal kebarangkalian bayi anda juga akan melalui perkara yang sama. Wallahuallam..


Sumber: http://www.infosihat.gov.my/

1 comment:

  1. Salam perkenalan yer..gigi susu akan kekal sampai umur berapa tahun? Anak saya gigi dia dah berdouble.

    ReplyDelete